mutakhir

Komuter di utara Jumaat ini

Kuala Lumpur: Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan beroperasi di utara Semenanjung bermula Jumaat ini.

KTMB berkata, ia membabitkan laluan Kamunting-Butterworth-Gurun sebanyak 12 perkhidmatan sehari, iaitu enam perkhidmatan bermula dari Stesen Kamunting dan enam dari Stesen Gurun.

Perkhidmatan Shuttle KTM Komuter akan berhenti di 11 stesen iaitu Kamunting, Bagan Serai, Parit Buntar, Nibong Tebal, Simpang Ampat, Bukit Mertajam, Bukit Tengah, Butterworth, Tasik Gelugor, Sungai Petani dan Gurun.

Ia menggunakan tren Electric Mutiple Unit (EMU) sebanyak tiga gerabak yang mana tren pertama dijadual berlepas seawal jam 5 pagi dan berakhir pada jam 8 malam dari stesen permulaan iaitu Kamunting dan Gurun dengan kekerapan tiga jam.

Menurut kenyataan KTMB, kadar tambang antara RM1 hingga RM10.50 bagi perjalanan sehala untuk dewasa. - BERNAMA

Disiarkan pada: September 8, 2015 @ 6:25am
d