mutakhir

Harapan belum pudar

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Gua Musang: “Kebarangkalian tinggi mereka masih ada di sini (Hutan Rizab Balah),” kata Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah.

Beliau yang juga Komander Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Ops TH7 berkata demikian ketika mengulas perkembangan SAR tujuh murid Orang Asli yang hilang di kawasan Hutan Rizab Balah, dekat Pos Tohoi, di sini, sejak 23 Ogos lalu.

Tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang itu ialah Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7.

Saiful Bahri berkata, pihaknya tidak menafikan siasatan kes itu mengambil kira elemen lain termasuk jenayah dan penculikan, namun ia prosedur biasa bagi setiap operasi SAR orang hilang.

“Elemen jenayah semua kami ambil kira, kami tidak menafikannya kerana SAR ini sudah berlangsung dua minggu. Jadi, aspek disiasat juga ialah unsur kehilangan, jenayah, sosial, kekeluargaan dan komuniti.

“Semua elemen diambil kira sejak hari pertama operasi, cuma tidak mahu ia mengganggu tujuan utama pencarian mangsa.

“Apa-apa maklumat menjurus kes ini diambil kira termasuk dakwaan murid berada di rumah belakang bukit berdekatan asrama sekolah dan gua berhampiran,” katanya ketika ditemui di Pos Tohoi, di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, majoriti petunjuk unsur jenayah setakat ini negatif dan sukar dikaitkan dengan murid yang hilang.

Katanya, sekatan laluan keluar masuk ke penempatan Orang Asli dilakukan sejak hari pertama operasi juga masih berlangsung.

Saiful Bahri berkata, pencarian di dalam hutan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih belum menemui bukti konkrit mengenai kedudukan murid.

“Kami sudah meneroka 65 peratus kawasan pencarian daripada empat sektor yang ditetapkan dan perlu menghabiskan seluruh sektor sebelum keputusan kolektif mengenai operasi dibuat,” katanya.

Sementara itu, Leftenan Kolonel Ilyas Hanapi dari Batalion Pertama Rejimen Sempadan, Kem Batu 11, Tanah Merah berkata, lebih 200 anggotanya masih meneruskan pencarian di hutan.

Katanya, tinjauan udara untuk menanda rumah kongsi dan rumah tinggal turut dibuat dengan bantuan helikopter Augusta milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Disiarkan pada: September 8, 2015 @ 6:30am
d