mutakhir

Malaysia dibentuk berpaksi perpaduan

Kuala Lumpur: Pihak luar perlu menghayati dan menilai sejarah, ekonomi, sosiobudaya dan politik negara ini sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelak timbul salah tanggapan akibat kenyataan tidak tepat.

Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, dalam konteks negara demokrasi kebebasan bersuara adalah terjamin, namun perlu berlandaskan fakta dan bukti yang kukuh.

“Adakah benar lebih baik menjadi rakyat Singapura berbanding Malaysia? Apa buktinya? Sebagai menteri, dia (Lim) kena fikir dan hayati sejarah terlebih dulu,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan kontroversi Menteri Sumber Manusia Singapura, Lim Swee Say bahawa dia berasa beruntung menjadi rakyat republik itu dalam ucapan kempennya mewakili Parti Tindakan Rakyat (PAM), baru-baru ini.

Lim turut mendakwa pemisahan Singapura dan Malaysia pada 1965 membawa keuntungan atas alasan Malaysia adalah milik orang Melayu dan dia sendiri tidak boleh tinggal dalam suasana sedemikian.

Mohd Fuad berkata, sejarah membuktikan Malaysia dibentuk melalui perpaduan kaum yang jitu dan berkekalan hingga kini dan sentiasa menjunjung amalan demokrasi.

“Malaysia tidak seteruk mana yang digambarkan. Adakah Malaysia mengamalkan diskriminasi? Seperti dinyatakan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Malaysia adalah milik orang Melayu. Justeru, polisi kerajaan memihak kepada orang Melayu tanpa mengetepikan hak kaum lain termasuk Cina dan India.

“Lim yang berjawatan tinggi dalam kerajaan mungkin rasa bertuah menjadi rakyat Singapura, begitu juga jika dia rakyat Malaysia dan dilantik sebagai pemimpin,” katanya.

Beliau berkata, orang luar mungkin membaca sesuatu berita termasuk daripada Internet tanpa menganalisisnya sebelum memberi pandangan mengenai negara ini.

Disiarkan pada: September 8, 2015 @ 6:52am
d