mutakhir

Bincang status KPI

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Serdang: Kementerian Pendidikan Tinggi disaran mengadakan sesi temu bual dengan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan naib canselor universiti awam serta swasta dua kali setahun bagi membincangkan petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sesi berkenaan membolehkan kementerian itu mengetahui dengan terperinci segala masalah dihadapi oleh universiti dan menentukan penyelesaiannya.

Beliau berkata, sesi itu juga penting bagi memastikan proses pentadbiran dan urusan universiti berjalan lancar seperti dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) atau ringkasnya PPPM-TP.

“Saya nak syorkan supaya menteri pendidikan tinggi mengadakan temu bual dengan semua pengerusi LPU dan naib canselor untuk bincangkan pencapaian KPI masing-masing seperti yang saya lakukan sebagai Perdana Menteri untuk semua menteri iaitu dua kali setahun iaitu pada pertengahan dan akhir tahun.

“Dengan ini kita boleh mengetahui secara terperinci apa permasalahan setiap universiti dan bukanlah sebagai satu sesi nak ‘mendera’ naib canselor atau pengerusi LPU, sebaliknya untuk berkongsi permasalahan dan mencari penyelesaian supaya kita boleh memastikan perjalanan universiti berkesan dan lebih lancar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Warga Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, timbalannya Datuk Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Asma Ismail dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah Tun Zaki Azmi.

Perdana Menteri dalam pada itu menekankan beberapa perkara utama perlu dipastikan oleh kementerian dalam kerangka PPPM-TP bagi Program Transformasi Universiti (UniTP) bagi menjayakan objektif transformasi menuju negara maju dan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, pertamanya tumpuan kepada pendidikan Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting bagi mana-mana negara untuk mempunyai daya saing.

“Selain itu, penguasaan bahasa Inggeris pada tahap cemerlang tanpa mengabaikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pendidikan yang dapat membentuk akhlak dan nilai murni serta nilai kemanusiaan juga perlu diperkukuh dalam sistem pendidikan,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2015 @ 6:52am
d