mutakhir

Pengguna AKLEH dapat rebat 5%

Pengguna kenderaan kelas satu bakal menikmati rebat lima peratus bagi pembayaran tol secara elektronik di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) selama tiga bulan bermula Rabu ini.

Pengendali AKLEH, Projek Lintasan Kota Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan semalam berkata, rebat itu diberikan kepada pengguna yang membuat bayaran menggunakan rangkaian kad Touch ‘n Go, kad Zing dan MyKad di Plaza Tol Datuk Keramat.

“Pemberian rebat itu akan berlangsung sehingga 8 Disember sempena pelaksanaan penuh kutipan tol secara elektronik, mulai tengah hari 9 September ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainudin A Kadir.

Menurut kenyataan itu, penebusan rebat boleh dilakukan dalam tempoh sebulan selepas tamat transaksi pada akhir sesuatu bulan di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan AKLEH yang dibuka bermula jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari termasuk cuti umum sepanjang tawaran berlangsung. - BERNAMA

Disiarkan pada: September 8, 2015 @ 6:57am
d