mutakhir

Kikis jadi kaedah baru penjenayah

Kajang: Kikis nombor casis dan enjin motosikal dicuri untuk melakukan jenayah samun. Itu taktik digunakan seorang suspek berusia 30 tahun yang berjaya diberkas polis semalam.

Sumber berkata, suspek dikesan gemar menunggang motosikal model Yamaha 125z yang dicuri untuk melakukan jenayah bersama beberapa rakan lain.

Suspek bagaimanapun diberkas jam 6.45 pagi semalam, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis Balai Kajang yang melakukan rondaan di kawasan Hentian Kajang di sini.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati motosikal berwarna biru digunakan suspek sudah dipadam nombor casis dan enjinnya.

“Susulan itu suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Tangkas untuk tindakan lanjut. Suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 29 (1) Undang-Undang Kecil 2000,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, pihaknya sebelum ini menerima beberapa laporan kes berhubung kejadian samun membabitkan suspek.

Disiarkan pada: September 8, 2015 @ 7:10am
d