mutakhir

Syukur, hiba depan Kaabah

Makkah: “Saya bersyukur kerana berpeluang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci, ini pengalaman yang cukup istimewa buat saya,” kata saudara baru, Zakaria Abdullah Alkuwaity, 61.

Walaupun bersendirian di sini, dia bersyukur terpilih antara jutaan umat Islam menunaikan ibadat berkenaan.

Zakaria ketika ditemui berkata, air matanya berlinangan kerana terlalu gembira ketika pertama kali melihat Kaabah.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu, sehingga ditenteramkan rakan supaya mengawal perasaan,” katanya.

Dia yang memeluk Islam pada 2008 di Majlis Agama Islam Johor Bahru mengakui tidak menyangka terpilih menjadi tetamu Allah dan memberi peluang buat dirinya untuk bermuhasabah.

Menurutnya, Islam itu indah dan begitu jugalah kehidupannya selepas mengucap dua kalimah syahadah.

“Hati saya terdetik mempelajari Islam ketika bertugas bersama rakan beragama Islam di Kuwait.

“Ketika itu daripada 500 rakyat Malaysia yang bekerja di situ, hanya saya bukan Islam,” katanya yang berkhidmat selama 28 tahun di bahagian bagasi di lapangan terbang negara berkenaan.

Dia berkata, hatinya ketika itu tertarik melihat rutin rakannya menunaikan solat berjemaah setiap kali masuk waktu solat.

Bagaimanapun, katanya, selepas kembali ke tanah air dan mendirikan rumah tangga dengan pasangannya hasrat itu tertangguh.

“Alhamdulillah, pada 2008 Allah buka pintu hati saya. Selepas mendapatkan nasihat rakan dan bertemu guru agama, saya melafazkan syahadah di Majlis Agama Islam Johor Bahru,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2015 @ 5:09am
d