mutakhir

Tauke beg ciplak terkedu

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Tiga peniaga berputih mata apabila beg tangan tiruan bernilai ribuan ringgit dirampas dalam operasi yang dijalankan di premis sekitar Jalan Masjid India dan Pasar Seni, kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur pada 2.30 petang itu, seramai 11 anggota penguat kuasa menyerbu tiga premis di lokasi berkenaan.

Serbuan dilakukan berdasarkan aduan pemilik sah jenama terkenal itu selain risikan anggota KPDNKK sejak seminggu lalu.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, hasil pemeriksaan terhadap tiga premis berkenaan menemui 223 beg tangan tiruan.

“Operasi yang dijalankan selama dua jam itu mendapati premis berkenaan bergiat aktif menjual beg tiruan kepada orang awam.

“Hasil operasi itu, KPDNKK merampas 223 beg tangan bernilai RM3,805,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, lima pekerja di tiga premis itu diambil keterangan untuk membantu siasatan.

Katanya, tiga pengusaha premis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (b) Akta Perihal Dagangan (APD 2011).

Disiarkan pada: September 9, 2015 @ 5:11am
d