mutakhir

Majlis besar di pekan kecil

Oleh Abd Rahman Adam

Lundu: Terletak di penghujung barat pulau Borneo, Pekan Sematan, di sini bakal menempa sejarah tersendiri apabila buat julung kali dipilih tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Lebih bermakna bagi penduduk pekan kecil berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan itu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan Fasa Pertama Projek Lebuhraya Pan Borneo sehari sebelum itu yang disifatkan sebagai projek kejuruteraan terhebat di negara ini.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati penduduk tidak menyangka pekan kecil itu bakal menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pemimpin tertinggi negara membawa bersama projek pembangunan yang sudah lama dinantikan rakyat negeri ini.

Warga emas, Anis Naim, 70, berkata, pemilihan pekan kecil itu sebagai lokasi pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo dan Hari Malaysia 2015 memberi makna cukup besar kepada penduduk setempat.

“Pertama, dengan penganjuran majlis besar di sini, nama Sematan akan lebih dikenali, tambahan pula Perdana Menteri juga akan berkunjung ke sini, sehari sebelum sambutan hari bersejarah negara.

“Kedua, pembangunan pekan kecil ini pasti lebih rancak apabila menjadi titik permulaan projek lebuh raya itu yang pertama seumpamanya dibina di kepulauan Borneo,” katanya.

Pesara Pengakap Sempadan itu berkata, sepanjang mendiami kawasan luar bandar itu, dia berbangga dengan pelbagai perubahan berlaku terutama dari segi sosioekonomi penduduk setempat.

“Biarpun lokasinya jauh di hujung kepulauan Borneo, tidak sesekali pekan kecil ini dipinggirkan dalam arus pembangunan, malah banyak perubahan dapat kita lihat sepanjang 30 tahun lalu.

“Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo minggu depan adalah kemuncak kepada program pembangunan dirancang kerajaan Pusat di kawasan ini. Ia hadiah terbesar Kerajaan Pusat kepada rakyat negeri ini khususnya penduduk setempat dan cukup simbolik sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini,” katanya.

Menurutnya, Pekan Sematan cukup bertuah kerana diwakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan berada dalam kawasan Parlimen Santubong diwakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Disiarkan pada: September 9, 2015 @ 5:17am
d