mutakhir

Pusat operasi dipindah ke Pelabuhan Klang

Pelabuhan Klang: Satu lagi mayat ditemui pada operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di barat daya Tanjung Sauh dekat Sabak Bernam, Khamis lalu yang memasuki hari keenam semalam.

Mayat dipercayai lelaki itu ditemui jam 2.30 petang semalam oleh Kapal Maritim (KM) Danga kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pelabuhan Klang, di sini.

Laksamana Pertama Maritim Daerah Klang Mohd Aliyas Hamdan berkata, pihaknya menutup pusat operasi di Jeti Ladang Sungai Bernam, Hutan Melintang, Perak kelmarin dan mayat berkenaan dihantar ke Pangkalan APPM Pelabuhan Klang.

“Kami memindahkan pusat operasi ke Pangkalan APMM di Pelabuhan Klang bagi memudahkan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk urusan pengecaman dan pengebumian,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2015 @ 5:18am
d