mutakhir

Cari bukti kukuh

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpu: Polis akan menjalankan siasatan dari semua aspek dan mengkaji sebarang kemungkinan mengenai misteri kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Kevin Anthony Morais sejak Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan itu termasuk dakwaan kehilangan Morais ada kaitan dengan kes pembunuhan pengasas Kumpulan Arab Malaysian Banking (Ambank) Hussain Ahmad Najadi.

“Kita sedang cuba sedaya upaya untuk mencari bukti kukuh atau fakta yang boleh dikaitkan dengan misteri kehilangan beliau kerana sehingga kini belum ada apa-apa perkembangan mengenai siasatan kes ini.

“Selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kemungkinan menjadi laluan terakhir kereta milik Morais, polis juga sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2014 di Bukit Aman meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi terhadap kehilangan Morais yang masih diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

“Bagi polis jalankan siasatan terperinci kerana kita juga sudah tubuhkan pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur untuk melakukan siasatan lanjut dari semua aspek.

“Polis komited dan memandang serius terhadap kes ini dan akan sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik, malah setakat ini beberapa individu termasuk teman serumah Morais juga sudah diambil keterangan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, siasatan terhadap kereta yang ditemui di Hutan Melintang, Perak masih dijalankan dan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan kemungkinan kereta itu milik Morais.

“Setakat ini memang tidak ada laporan kehilangan membabitkan kereta yang dipandu Morais, namun itu bukan jawapan tepat kepada dakwaan berkenaan.

“Kita sedang menunggu hasil siasatan Jabatan Kimia yang mendapat kerjasama daripada Syarikat Spanco,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2015 @ 5:25am
d