mutakhir

Tak timbul isu pecat

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: “Saya seratus peratus menyatakan tidak ada sebarang pemecatan membabitkan mana-mana pemimpin kanan UMNO esok (hari ini),” tegas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin berhubung kononnya Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan dipecat.

Malah, Khairy berkata, sepanjang berlangsungnya Mesyuarat Khas Biro Politik UMNO yang diadakan di Perdana Putra kelmarin, ia turut berjalan lancar.

“Mesyuarat semalam (kelmarin), saya juga ada di situ dan ia turut dihadiri semua naib presiden parti, ketua sayap serta pemegang jawatan kanan dalam parti.

“Ia berlangsung dalam suasana yang positif, selesa dan kami berbincang mengenai pelbagai perkara antaranya mengenai isu politik,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Indeks Belia Malaysia 2015 di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, semua yang hadir bekerja secara profesional termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Muhyiddin.

“Najib masih presiden parti dan Muhyiddin masih timbalan presiden parti dan kami bekerja secara profesional dalam menggerakkan parti.

“Justeru, tiada isu yang timbul dan kami bersama-sama ahli UMNO yang lain komited dengan parti,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini antara lain membincangkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO, perkara membabitkan pentadbiran parti serta isu politik semasa.

“Kita tidak dapat mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi selama tiga bulan, jadi ada beberapa perkara pentadbiran perlu diselesaikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, berdasarkan ukuran kesejahteraan belia menerusi Indeks Belia Malaysia 2015 berada pada tahap sederhana iaitu 70.22 berbanding tahun sebelum ini dengan skor 69.

“Skor yang dicapai pada tahun ini dilihat ada peningkatan berbanding tahun sebelumnya namun, kita perlu melihat perkara ini dengan serius lebih-lebih lagi berhubung aspek ekonomi dan sosio politik kerana catatan skor agak rendah,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2015 @ 5:34am
d