mutakhir

Hanya ada RM1,000

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Kuala Kangsar: Nur Fatihah Damia Mohamed Fairus, bayi perempuan berusia tujuh bulan yang disahkan menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan bantuan dana segera RM50,000 bagi menampung kos pembedahan yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu lagi.

Fatihah Damia atau nama manjanya, Mia, dilahirkan secara normal dengan berat 2.4 kilogram (kg), kini hanya memiliki berat empat kg iaitu lebih ringan berbanding bayi biasa yang seusianya.

Ibu bayi malang itu, Wahidah Ahmad, 32, berkata, anaknya dikesan mempunyai komplikasi jantung berlubang sejak dilahirkan dengan kebesaran lubang seluas 0.8 milimeter.

Menurutnya, sebaik dilahirkan, dia dimaklumkan bayinya lambat menangis apabila ditepuk dan degupan jantungnya terlalu laju.

“Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan doktor mengesahkan anak saya mempunyai penyakit Ventricular Septal Defect (VSD) iaitu berlubang di ruangan jantung yang mengakibatkan jantungnya lemah.

“Mia adalah anak kedua saya yang dijangkiti masalah jantung berlubang selepas abangnya Ahmad Fauzi Damien, 5, tetapi Mia lebih kritikal. Saya sedih, namun reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Wahidah berkata, pembedahan akan dilakukan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang berikutan tiada kekosongan dan perlu menunggu giliran di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Dia yang tidak bekerja mempunyai lapan anak berusia antara dua hingga sembilan tahun dan Mia adalah anak kelapan.

“Mia perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan pemeriksaan lanjut di IJN pada 21 September ini. Doktor memaklumkan perlu sentiasa memantaunya supaya dia tidak bernafas laju atau mempunyai degupan jantung kencang dan tidak boleh selesema kerana mudah terdedah dengan kuman.

“ Pada 21 Ogos lalu doktor mengesan Mia dijangkiti kuman pada paru-paru.

“Saya hanya boleh memberi susu dan ubat dengan menggunakan saluran tiub setiap tiga jam sekali. Apabila terasa jantungnya berdegup laju, saya membilas dengan air untuk meredakannya. Beratnya tidak bertambah, mudah berpeluh dan rambut semakin gugur kesan ubat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ketior Luar, Manong di sini, semalam.

Sementara itu, bapa bayi, Mohamed Fairus Mohamed Mustafa, 35, pula berkata, setakat ini dia menerima bantuan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM100 daripada Baitulmal bagi menanggung sewa rumah.

“Setakat ini kami hanya mampu mengumpul RM1,000 dan ia jalan terakhir untuk kami mengumpul dana untuk menyelamatkan Mia,” katanya yang hanya bekerja kampung dan berpendapatan RM600 sebulan.

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Wahidah di talian 019-4963730 atau ke akaun Maybank 158097873426.

Disiarkan pada: September 11, 2015 @ 8:57am
d