mutakhir

Lebih mudah akses berita

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) mengumumkan paparan kandungan berita di ketiga-tiga akhbar utamanya, New Straits Times, BH dan Harian Metro kini boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Play Newsstand.

Syarikat NSTP menjalin kerjasama dengan Google bagi memberi peluang pembaca dan pengguna mengakses kandungan berita dalam surat khabar sama ada secara percuma atau berbayar.

Kandungan berita dipaparkan juga merangkumi berita ‘RSS feeds’ daripada ketiga-tiga penerbitan termasuk majalah digital interaktif ZIP dan Tech Kingdom serta berita berbayar digital BH Plus.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohamad Azlan Abdullah berkata, usaha sama dengan Google tepat pada masanya kerana memberi lebih pilihan kepada orang ramai mengakses berita keluaran NSTP.

Beliau berkata, usaha sama itu satu daripada inisiatif digital NSTP yang dirancang tahun ini dan lebih banyak lagi inisiatif digital menerusi pelbagai platform bakal diperkenalkan.

“Google Play Newsstand menyediakan satu platform baru untuk menyebarkan kandungan berita di ketiga-tiga akhbar kami.

“Ia cara berkesan untuk menarik pembaca baru yang kini lebih bertumpu kepada telefon pintar dan tablet untuk mengakses berita terkini di mana saja mereka berada,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan sempena pelancaran rasmi Google Play Newsstand di Malaysia, di sini, semalam.

Katanya, pada masa kini, mobiliti adalah kunci kepada pertumbuhan perniagaan kerana pengguna lebih gemar membaca berita terkini melalui iPad, tablet dan telefon pintar dan tidak lama lagi gajet pintar yang dapat dipakai di tubuh badan.

“Justeru, penekanan konsep mobiliti sebagai sebahagian strategi perniagaan NSTP pada masa hadapan. Populariti laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube memainkan peranan utama dalam mengubah cara pengguna mendapatkan berita dan maklumat.

“Kita perlu bergerak seiring perkembangan teknologi dan bertindak mengikut peredaran semasa. Kami akan memastikan NSTP mempunyai perniagaan digital kukuh untuk terus memacu pertumbuhan strategik syarikat,” katanya.

Pengguna Google Play di Malaysia kini boleh melanggan akhbar dan majalah Malaysia juga luar negara melalui aplikasi Android Google Play Newsstand dan iOS.

Semua sumber berita di Google Play Newsstand diformat dan dimaksimumkan untuk dibaca melalui tablet atau telefon pintar serta dilengkapi gambar, audio dan video.

Ia juga menawarkan keupayaan membaca dan menyimpan artikel atau majalah di luar talian. Ia berdasarkan tabiat dan kegemaran pengguna serta boleh diubah suai kandungan setiap hari untuk dibaca melalui ‘Read Now’.

Sementara itu, Google melancarkan aplikasi untuk bahan pembacaan di Malaysia, Google Play Newsstand yang menawarkan pelbagai jenis akhbar, majalah, blog dan buku tempatan atau luar negara kepada pengguna Android atau iOS.

“Aplikasi yang boleh didapati di Google Play ini turut disertai pelbagai akhbar dan majalah tempatan menampilkan paparan digital berdefinisi tinggi (HD).

“Menerusi ciri penyimpanan ‘Read Now’, pengguna dapat mengetahui maklumat terkini daripada berita dan artikel di dalam aplikasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Disiarkan pada: September 11, 2015 @ 11:05am
d