mutakhir

Remaja berdepan hukuman mati

Kluang: Polis melanjutkan tempoh tahanan reman selama 10 hari lagi terhadap seorang pesalah juvana berusia 17 tahun bagi siasatan kes kematian seorang anggota polis wanita yang bertugas dalam sekatan jalan raya cegah lumba haram di Kilometer 58, Jalan Batu Pahat-Mersing pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, tempoh lanjutan tahanan reman itu bagi membolehkan anggotanya menjalankan siasatan lebih terperinci terhadap suspek sehingga 16 September ini.

Menurutnya, suspek berdepan tindakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh mendiang Inspektor Margaret Tagom Geon yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, suspek berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan akibat daripada apa yang dilakukannya.

“Diharapkan dengan hukuman yang diberikan kepada remaja ini, ia akan menjadi pengajaran kepada semua yang berada di luar sana supaya tidak melakukan kesalahan seperti ini pada masa akan datang,” katanya ditemui di IPD Kluang di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: September 11, 2015 @ 11:11am
d