mutakhir

Operasi kastam takutkan peruncit

Oleh Sarah Zulkifli dan Siti Nadzirah Che Mud

Kuala Lumpur: Operasi berterusan Ops Outlet 2.0 Rokok dan Arak Seludup oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diperhebatkan di seluruh negara ternyata memberi kesan apabila ramai peruncit tidak berani menjual rokok seludup.

Terbaru, operasi serentak selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu lalu di ibu negara, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor, Pahang dan Sabah, tiga peruncit yang dipercayai menjual pelbagai jenama rokok seludup ditahan dan direman.

Dalam operasi di Tanah Merah, Kelantan, seorang warga emas berusia 62 tahun ditahan di premisnya Isnin lalu di Jalan Pasir Mas selepas menyimpan 37 kotak rokok seludup bernilai RM377. Malah, peniaga terbabit turut menjual rokok jenama tempatan dengan harga murah iaitu RM4 sekotak untuk peket 20 batang sedangkan harga minimum RM9.

Rokok itu tidak dipamerkan, sebaliknya dijual secara sembunyi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1) (D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, tiga lelaki termasuk dua warga asing dan seorang warga Indonesia dipenjara empat hari masing-masing dan didenda RM5,700 keseluruhan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini, semalam atas tuduhan memiliki rokok seludup.

Tertuduh, Muhamed Ali Sirasudeen, 32, Sikander Dhulkarunai, 40, dan Imran Muhamad, 43, dijatuhi hukuman penjara dan denda manakala Suriyadi, 26, hanya didenda selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Di hadapan Majistret Mohd Hezri Shaharil, Muhamed Ali, dan Sikander yang juga pemilik kedai runcit di Pangsapuri Angsana, Taman Subang Mewah masing-masing dipenjara empat hari dan didenda RM1, 500.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama memiliki 83 peket rokok bernilai RM135 di Pangsapuri Angsana, jam 1 petang pada 7 September lalu.

Imran pula didenda RM700 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah memiliki 34 peket rokok seludup bernilai RM38.40 di kedai runcit miliknya di kawasan sama.

Suriyadi yang menjaga sebuah kedai runcit ketika serbuan di kawasan sama pula didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah memiliki 51 peket rokok seludup pelbagai jenama berjumlah RM178.96.

Disiarkan pada: September 12, 2015 @ 5:31am
d