mutakhir

Rancang pelan tindakan

Oleh Mahaizura Abd Malik

Putrajaya: Menyedari pentingnya penguasaan bahasa Inggeris sebagai persediaan pelajar sekolah menengah sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi dan pekerjaan, Kementerian Pendidikan merancang pelan tindakan strategi lima tahun bagi memperkukuhkan lagi program sedia ada.

Usaha ini selaras dengan salah satu daripada Enam Aspirasi Murid Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang meletakkan kemahiran dwibahasa sebagai salah satu ciri penting dalam pembangunan holistik murid.

Setakat ini, antara program yang sedang dilaksanakan ialah Program Penguasaan Kemahiran Lisan Bahasa Inggeris Untuk Sekolah Menengah (OPS-English) yang diperkenalkan kementerian itu sejak 2012 selain Peningkatan Profesionalisme Guru Bahasa Inggeris (Pro-ELT).

Pengarah Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) Dr Mohamed Abu Bakar berkata, mulai tahun depan, pihaknya membuat perancangan bagi tempoh lima tahun akan datang dengan sasaran kepada guru dan pelajar.

“Beberapa program sudah kita kenal pasti termasuk penambahbaikan program Pro-ELT itu sendiri yang dijangka tamat pada tahun depan.

“Apabila 22,000 guru tamat menjalani latihan, kita akan tetap laksanakan lagi kursus berterusan bagi tempoh lima tahun untuk guru berkenaan.

“Ia memang kita ambil serius supaya kita nak lihat peningkatan pencapaian mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 77 meningkat kepada 85 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut merangka Pelan Sokongan Komunikasi Lisan (OCSP) bertujuan memantapkan kemahiran penguasaan dan pertuturan pelajar.

“Kita mahu pelajar yang masuk sistem kita bila tamat tingkatan lima mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris.

“Satu yang kita banyak fikirkan mengapa dan di mana silapnya walaupun sudah 11 tahun melalui sistem pendidikan dari tahun satu hingga tingkatan lima, masih ada yang tak pandai berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sedangkan ia mata pelajaran wajib.

“Jadi, inilah kita sedang usahakan supaya akhirnya menjelang tahun 2020, guru akan mahir dalam aspek kefasihan dan kemajuan dalam metodologi pengajaran mereka, manakala pelajar kita bukan saja boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, tetapi dapat memahami dan mengaplikasikan ilmu untuk jurusan lain seperti Sains, Perubatan, Kejuruteraan dan sebagainya.

Menurut Mohamed, OPS-English adalah satu inisiatif di bawah gelombang satu (2013-2015) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bertujuan meningkatkan kemahiran lisan dalam kalangan pelajar sekolah menengah negara ini.

“Ia menekankan kemahiran mendengar dan bertutur di samping membaca dan menulis, namun apa yang penting ia kembali kepada asas iaitu tumpuan lebih diberikan kepada kemahiran komunikasi dan meningkatkan keyakinan pelajar dalam menggunakan Bahasa Inggeris.

“Menerusi program ini, guru bertindak sebagai pembimbing bagi meningkatkan pembendaharaan dan struktur ayat serta mewujudkan peluang aktiviti interaktif yang menarik minat pelajar dengan bantuan buku khas guru, buku khas murid dan bahan audio.

“Pelajar pula, berupaya membuat pembentangan yang aktif dalam Bahasa Inggeris sama ada secara individu mahupun berkumpulan menerusi projek dilaksanakan mengikut minat masing-masing,” katanya.

Menurutnya, selepas tiga tahun pelaksanaan, program ini menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan menerusi penambahan jumlah sekolah yang terbabit serta pencapaian pelajar dalam kelas.

“Tahun ini, sebanyak 1,592 sekolah membabitkan 427,515 pelajar tingkatan satu dan dua berbanding hanya 20 sekolah sebagai projek perintis pada 2012.

“Kementerian dibantu pihak universiti dan pihak swasta menilai program ini dan hasil daripada kajian mendapati pelajar dari sekolah band 3 hingga 6 paling banyak menerima manfaat daripada program ini.

“Pencapaian dalam kelas mula meningkat di mana pelajar yang lemah sudah mula yakin bercakap dan berani bertanya dengan guru serta membuat pembentangan dalam kelas,” katanya.

Katanya, program berkenaan akan dijadikan sebagai kesinambungan dan masih boleh dipraktikkan selepas memasuki tingkatan tiga.

“Kita mahu ilmu yang diperolehi ketika di tingkatan satu dan dua digunakan sebaiknya ke tingkatan seterusnya.

“Matlamat kita, supaya apabila tamat tingkatan lima keyakinan dan penguasaan Bahasa Inggeris boleh dimanfaatkan pelajar untuk meneruskan kehidupan selepas tamat belajar, termasuk sambung pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2015 @ 5:56am
d