mutakhir

Bikin susah orang lain

Selayang: Polis Selangor menasihatkan orang ramai supaya menggunakan kemudahan disediakan dan tidak bertindak melulu melintas jalan terutama di laluan bersaiz besar bagi mengelak risiko berlaku kemalangan maut.

Pegawai Turus Trafik negeri Deputi Superintendan Azmi Mansur berkata, pihaknya memandang serius perkara seumpama itu kerana ia membabitkan ketenteraman dan keselamatan awam walaupun mungkin hanya dipandang remeh segelintir pihak.

“Jika kawasan itu sudah mempunyai jejantas atau jejambat, orang awam terutama pejalan kaki sepatutnya menggunakan kemudahan berkenaan sebaiknya.

“Namun, sekiranya tiada dan menyedari jalan berkenaan berisiko, jangan sewenang-wenangnya melintas sehingga boleh mengorbankan nyawa sendiri dan orang lain.

“Sebagai contoh, besi pembahagi jalan yang dibina di sesuatu kawasan itu sudah tentu mempunyai tujuannya apatah lagi laluan berkenaan bersaiz besar dan berbahaya untuk dilintasi,” katanya.

Menurut beliau, mengikut peruntukan sedia ada, seseorang pesalah melintas jalan tanpa menggunakan kemudahan boleh dikenakan tindakan saman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tindakan seumpama itu bukan bertujuan menghukum dan mencari kesalahan namun lebih kepada memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang sedia ada.

“Jika tiada penguatkuasaan, kita khuatir keadaan itu semakin parah dan masyarakat hanya memandang remeh soal peraturan serta keselamatan walaupun ia pada hakikatnya mudah dipatuhi,” katanya.

Kata Azmi, pihaknya turut beranggapan wajar untuk dipasang pagar pada besi pembahagi jalan di Jalan Ipoh-Rawang itu bagi mengelak orang ramai menyeberangi laluan terbabit.

Disiarkan pada: September 13, 2015 @ 5:11am
d