mutakhir

Hasrat terakhir makan laksa

Oleh Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: “Saya sedikit lega kerana hasrat arwah makan laksa termakbul ketika kami menghadiri majlis tahlil di sebuah rumah selepas solat Jumaat, kelmarin,” kata Syafiq Zaini, 13, rakan kepada Amir Firdaus Mat Nor, 13, yang ditemui lemas dalam kolam terbiar di Kampung Besar, Bukit Peraksi di Cherang Ruku, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa yang juga penghuni Rumah Kebajikan Anak Yatim Seri Peraksi, di sini, ditemui di dasar kolam sedalam tiga meter dipercayai tergelincir dari tebing ketika bermain bersama rakan.

Mangsa yang berasal dari Kampung Panggong, Bukit Abal meminta pertolongan, namun gagal diselamatkan rakannya.

Syafiq berkata, dua hari sebelum kejadian, rakan karibnya menyatakan hasrat menikmati laksa dan hajatnya terlaksana ketika menghadiri majlis tahlil penduduk kampung.

“Dia (Amir) makan begitu berselera dan jamuan itu adalah yang terakhir sebelum dia lemas dua jam kemudian.

“Saya kehilangan seorang rakan karib yang begitu mengambil berat perihal rakan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, dia bersama beberapa rakan melihat Amir Firdaus tenggelam di dasar kolam dalam sekelip mata.

“Kami gagal menyelamatkannya dan hanya mendengar jeritannya meminta pertolongan kerana tidak tahu berenang sebelum meminta bantuan orang kampung berdekatan.

“Kami reda dengan kehilangannya dan tidak akan menjejakkan kaki ke kawasan itu lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan jam 3.45 petang.

Katanya, satu mayat remaja lelaki sudah berada di atas bangku di dalam kawasan asrama rumah kebajikan selepas diselamatkan penduduk kampung.

“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk bedah siasat sebelum dituntut saudaranya,” katanya

Disiarkan pada: September 13, 2015 @ 5:11am
d