mutakhir

Bayi kotak

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Batu Gajah: Seorang bayi perempuan ditemui di dalam kotak sebelum ditinggalkan di pintu belakang rumah penduduk di Taman Bemban Raya di sini.

Bayi berusia lingkungan seminggu hingga dua minggu itu ditemui pemilik rumah berkenaan sekitar jam 8.55 malam kelmarin.

Saksi kejadian yang juga seorang wanita mendakwa membuka pintu selepas terdengar bunyi ketukan dipercayai dilakukan individu yang meninggalkan bayi itu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, wanita terbabit, Asmidar Mohd Abdul Wahab, 43, yang bekerja sebagai pengasuh bayi memaklumkan penemuan bayi malang itu kepada polis.

“Wanita itu mendakwa menemui satu kotak berwarna coklat di tepi pintu belakang rumahnya sebelum membuka kotak itu.

“Dia bagaimanapun terkejut apabila mendapati seorang bayi lengkap berpakaian berada di dalam kotak itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, bayi itu baru dilahirkan berdasarkan keadaan tali pusat yang sudah kering, tetapi belum jatuh.

“Bayi perempuan itu memakai baju lengkap bercorak Mickey Mouse dan dalam keadaan sihat dan tidak ada sebarang kecederaan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung bayi itu tampil membantu siasatan,” katanya.

Mohd Nasri berkata, bayi perempuan itu ditempatkan di Hospital Batu Gajah untuk pemeriksaan kesihatan dan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk penjagaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2015 @ 5:14am
d