mutakhir

Tidak lari hadapi cabaran

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengulangi ikrar tidak akan mengecewakan ahli UMNO dan rakyat Malaysia serta komited memikul tanggungjawab diamanahkan.

Najib menegaskan, selagi parti dan rakyat memberinya sokongan penuh, beliau sedaya upaya akan memimpin negara dan tidak akan lari berdepan apa juga cabaran.

“Saya tidak akan kecewakan ahli UMNO dan rakyat Malaysia. Semua pemimpin menghadapi cabaran dan apabila dah masuk ke gelanggang, jangan kita keluar di tengah-tengah perlawanan.

“Kita akan berjuang habis—habisan dan saya akan memikul tanggungjawab saya kepada parti dan rakyat.

“Selagi saya mendapat sokongan parti dan rakyat, saya akan terus memimpin. Saya tidak akan berundur, Insya-Allah. Kita akan bergerak maju ke depan,” katanya menerusi catatan terbaru dalam blognya, semalam.

Presiden UMNO itu berkata, beliau terharu dengan sokongan padu parti komponen Barisan Nasional (BN) ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Bahagian Pekan, Pahang, kelmarin yang mengimbau sejarah karier politiknya 40 tahun lalu selepas Allahyarham Ayahandanya meninggal dunia pada Januari 1976.

“Ketika itu, saya dipilih parti bagi Pilihan Raya Kecil bulan Mac tahun berkenaan dan menang tanpa bertanding dan begitulah bagaimana saya bertatih dalam dunia politik.

“Apabila disuruh oleh parti untuk bertanding, saya tergamam. Umur saya belum cukup 23 tahun dan saya bertanya pada diri sendiri, mampukah saya menggalas tanggungjawab yang berat ini?.

“Namun, saya berazam pada masa itu saya akan menyambung legasi dan perjuangan ayahanda sebagai pemimpin anak jati Pekan,” katanya.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata, banyak cubaan terpaksa ditempuh dalam politik, namun setiap keadaan itu dijanjikan Allah SWT ada kebaikan di akhirnya seperti kes UMNO diharamkan pada 1987 yang menggelapkan masa depan orang Melayu.

“Saya tak boleh bayangkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada masa itu apakah yang akan terjadi kepada parti kita.

“Namun, saya sedar dalam apa jua keadaan, perjuangan mesti diteruskan. Kita berikhtiar dan menggunakan kebijaksanaan, berpakat serta mencari jalan bagaimana kita boleh membangunkan semula parti yang sudah banyak berjasa dan berbudi ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2015 @ 5:20am
d