mutakhir

Bantu Yazid

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: “Kami juga tidak mempunyai banyak wang untuk membantu Yazid (Search), namun menjadi tanggungjawab kami untuk membantu rakan artis yang ditimpa musibah.

“Perkara yang boleh saya lakukan adalah melalui bakat yang ada. Oleh itu, saya bersetuju menyertai konsert amal ini untuk memberi sumbangan kepada beliau (Yazid),” kata vokalis kumpulan Freedom That Gone (FTG) dikenali sebagai Tajul.

Tajul yang menjadi penyanyi band FTG sejak 1990-an berkata, dia banyak mendengar berita mengenai nasib yang menimpa pemain drum Kumpulan Search itu.

“Bagaimanapun, atas desakan masa dan komitmen lain, saya tidak sempat menziarahi Yazid. Walaupun kami tidak rapat, saya rasa terpanggil untuk membantunya dan akan membuat persembahan di Konsert Amal Untuk Yazid Search pada 19 September ini,” katanya, semalam.

Yazid Ahmad, 53, menghidap penyakit kegagalan buah pinggang dan difahamkan memerlukan RM200,000 untuk rawatan penyakit yang dialami sejak lapan tahun lalu.

Konsert amal percuma itu akan diadakan untuk mengutip sumbangan bagi meringankan beban Yazid dan ia akan diadakan di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam bermula jam 8 malam.

Selain Tajul antara artis yang akan membuat persembahan pada malam berkenaan adalah Ito Blues Gang, Zuar XPDC, Mel Wings dan Nik Jidan serta dihoskan Leman Raja Lawak.

Disiarkan pada: September 14, 2015 @ 5:31am
d