mutakhir

Bawa balik keuntungan pelaburan di luar negara

Putrajaya: Kerajaan menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat swasta Malaysia membawa balik keuntungan pelaburan diperoleh di luar negara untuk dilaburkan di negara ini sebagai satu langkah melestarikan pasaran kewangan tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, gesaan itu satu daripada langkah proaktif diputuskan kerajaan sebagai inisiatif awal jangka pendek dan sederhana bagi melindungi kesan risiko dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi seperti disasarkan.

Beliau berkata, bagi memastikan kestabilan pasaran kewangan, kerajaan menggalakkan GLC dan GLIC menzahirkan keuntungan daripada pelaburan mereka di luar negara untuk dilaburkan dalam projek yang mempunyai nilai pengganda yang tinggi di negara ini.

“Sejak negara pulih daripada krisis kewangan Asia sekitar 1997 dan 1998, banyak syarikat swasta dan GLC berjaya mengembangkan perniagaan dan mempertingkatkan pelaburan mereka ke luar negara yang jumlahnya kini lebih besar daripada pelaburan langsung asing di dalam negara.

“Setakat Jun lalu, Malaysia pengeksport bersih modal dengan pelaburan langsung di luar negara berjumlah RM522 bilion berbanding pelaburan langsung asing berjumlah RM477 bilion,” katanya pada sidang media khas mengumumkan langkah-langkah proaktif ekonomi, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE).

Katanya, kebanyakan daripada syarikat berkenaan memperoleh keuntungan daripada pelaburan yang dibuat dan inilah masa untuk mereka membawanya pulang ke dalam negara.

Najib berkata, kerajaan juga akan mengaktifkan semula Valuecap Sdn Bhd (ValueCap), pengurus pelaburan persendirian milik kerajaan dengan dana RM20 bilion.

Menurutnya, entiti itu ditubuhkan pada 2002 bagi menyokong saham yang di bawah nilai pasaran dan didapati ia dalam menstabilkan pasaran ekuiti.

Disiarkan pada: September 15, 2015 @ 9:46am
d