mutakhir

Lelaki maut kereta dipandu hilang kawalan

Bentong: Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya terbunuh apabila kereta dipandu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Kilometer 12.5, Jalan Bentong-Raub, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa Yong Kok Kheng, 37, dari Taman Sentosa, Raub meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sendiri memandu Toyota Corolla dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju Raub.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah van jenis Toyota Hiace.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum orang ramai yang menyaksikan kejadian menghubungi pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

“Pemandu van berusia 47 tahun dari Cheras, Selangor pula cedera di dada dan menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa hilang kawalan menyebabkan keretanya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 16, 2015 @ 7:22am
d