mutakhir

'Lekir' didakwa

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Seorang pemimpin Ultras Malaya dikenali sebagai ‘Lekir’ bersama seorang lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan sengaja mencetuskan kekecohan ketika perlawanan bola sepak di Stadium Shah Alam, di sini, 8 September lalu.

Lekir atau nama sebenarnya Mohd Ridzuan Ahmad, 36, bersama Nadzul Haqimi Zulkepli, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama beberapa lagi yang masih bebas merusuh dengan membakar suar, bom asap, mercun roket yang dibaling ke balapan.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan kuadron C, Stadium Shah Alam, Seksyen 13, di sini, jam 10.50 malam, 8 September lalu.

Kedua-dua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) kerana merusuh yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: September 16, 2015 @ 9:33am
d