mutakhir

Latih tenaga mahir

Oleh Mohd Amin Jalil

Nilai: Negara memerlukan 20,000 tenaga mahir dalam bidang industri halal menjelang 2020.

Industri halal bukan hanya terhad kepada sektor makanan dan minuman malah merangkumi sektor lebih besar termasuk farmaseutikal, kosmetik, penjagaan kesihatan, pembungkusan, logistik, perbankan dan kewangan, jentera pemprosesan dan pelancongan.

Presiden Kolej Uniti Datuk Jamal Mohd Amin berkata, pihaknya berhasrat melahirkan 2,000 graduan dalam bidang itu ataupun 10 peratus daripada keperluan pasaran negara menjelang 2020.

Menurutnya, kolejnya antara yang terawal menawarkan bidang pengajian industri halal sejak 2012 dan setakat ini, 795 pelajar sedang mengikuti kursus berkenaan selama tiga tahun.

“Hampir separuh daripada jumlah pelajar terbabit menamatkan pengajian mereka tahun ini dan boleh memasuki pasaran kerja dalam bidang berkenaan.

“Minat dan kecenderungan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menceburi bidang itu semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kolej Uniti di sini, kelmarin.

Difahamkan, Kolej Uniti menawarkan 14 program akademik termasuk dua program usahasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), masing-masing satu program usahasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Disiarkan pada: September 17, 2015 @ 7:37am
d