mutakhir

Dokong bertaburan atas jalan

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Temerloh: Seorang pemandu lori sarat membawa dokong untuk dihantar ke Pasar Borong Selayang, Selangor terselamat selepas kenderaan berat dipandunya terbabas dan terbalik apabila tayar belakangnya pecah di Kilometer 98.2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun dalam perjalanan dari Ajil, Terengganu tidak mengalami kecederaan, tetapi kerugian kira-kira RM6,000 selepas buah dibawa bertaburan atas jalan.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, siasatan awal mendapati tayar belakang lori dipandu mangsa meletup secara tiba-tiba menyebabkan ia terbabas dan terbalik.

“Mangsa yang tidak cedera dikeluarkan orang ramai sebelum menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Lanchang dan membuat laporan di Balai Polis Trafik Temerloh, jam 8 pagi tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan muatan dokong bertaburan atas jalan sebelum orang ramai yang berhenti di tepi jalan mengambil kesempatan mengutip buah berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: September 17, 2015 @ 9:20am
d