mutakhir

Pesawat tergelincir ketika mendarat

Kota Bharu : Seorang pelatih akademi penerbangan, Asia Pasific Flight Training (APFT) terselamat apabila pesawat ringan kendaliannya tergelincir ketika mendarat di Lapangan Tebang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika pelatih berasal dari Timor Leste dikenali Felisberto, 21, melakukan penerbangan latihan secara solo.

Bagaimanapun, Pengurus Kualiti dan Keselamatan APFT Hazri Satriawan Haron berkata, Felisberto tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya menjalani pemeriksaan kesihatan biasa.

“Pesawat jenis Piper PA-28 digunakan juga tidak mengalami sebarang kerosakan serius. Kami masih lagi menyiasat punca kejadian.

“Sebelum kejadian, dia sudah melakukan penerbangan solo dan berjaya mendarat dengan baik. Ketika penerbangannya yang kedua, dia gagal mendarat dengan sempurna dan pesawat tergelincir.

“Pelatih juga ada menghubungi menara kawalan sebelum kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat berdekatan hadir bagi memastikan keadaan terkawal.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat faktor kejadian itu termasuk kemungkinan akibat cuaca buruk.

Disiarkan pada: September 17, 2015 @ 9:50am
d