mutakhir

PM jumpa 30 CEO

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam mengadakan dialog perniagaan berprofil tinggi bersama 30 ketua pegawai eksekutif (CEO) utama, di sini bagi membincangkan kedudukan ekonomi semasa.

Najib yang juga Menteri Kewangan, menyifatkan pembabitan Dialog Pemimpin Perniagaan itu sebagai tepat pada masanya bagi mendapatkan pandangan dalam menangani cabaran ekonomi global semasa.

“Dialog itu antara lain membincangkan langkah segera bagi memulihkan keyakinan dan menstabilkan ekonomi negara,” katanya.

Pemimpin perniagaan yang menghadiri dialog itu terdiri daripada CEO Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, CEO Kumpulan Telekom Malaysia Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Pengarah Urusan Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holding Berhad Datuk Badlisham Ghazali.

“Saya mahu mendapatkan pandangan anda mengenai kaedah bekerja bersama-sama sektor awam dan swasta bagi mengukuhkan ekonomi kita. Sudah semestinya ia adalah pertimbangan serius yang dibuat oleh kerajaan,” kata Najib sebelum mempengerusikan sesi dialog di Perdana Putra, di sini.

Sesi dialog itu turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Ranjit Ajit Singh dan CEO TalentCorp Johan Mahmood Merican.

Najib berharap dialog itu akan memberikan momentum baharu untuk negara bergerak ke hadapan.
-BERNAMA

Disiarkan pada: September 18, 2015 @ 9:34am
d