mutakhir

'Superman' dijel

Kuala Lumpur: Akibat menunggang motosikal secara berbahaya dan melakukan aksi ala ‘Superman’ di Lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE), di sini, dua lelaki terpaksa meringkuk selama dua hari dalam penjara serta didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Zilfinaz Abbas menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zulfirman Mohd Ikram, 18 dan Muhammad Amin Md Isa, 22, apabila kedua-duanya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan mereka masing-masing menjalani hukuman penjara dua bulan lagi, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Zulfirman dan Muhammad Amin, masing-masing menggunakan motosikal jenis Yamaha RXZ serta Yamaha Legenda didakwa menunggang secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala ‘Superman’ dengan meletakkan dada pada kusyen serta mengangkat kaki lurus ke belakang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuh raya DUKE, di sini, antara jam 3.30 dan 3.35 pagi, semalam.

Bagi kesalahan itu, mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, dua remaja itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mereka berasal daripada keluarga susah.

Disiarkan pada: September 19, 2015 @ 5:12am
d