mutakhir

15 pelajar enggan pulang

Oleh Salman Hamat

Riau: Seramai 15 pelajar yang mengikuti pengajian tahun akhir di beberapa universiti di Pekanbaru, di sini, memutuskan tidak pulang ke Malaysia walaupun kerajaan menyediakan penerbangan ihsan melalui bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Konsul Jeneral, Konsulat Pekanbaru Hardi Hamdin berkata, pihaknya menghubungi pelajar terbabit namun mereka menolak tawaran itu kerana terikat dengan pelbagai tugasan tahun akhir yang perlu diselesaikan.

Beliau berkata, konsulat memantau pelajar berkenaan dan sedia menghulurkan bantuan diperlukan mereka sekiranya terjejas akibat jerebu.

“Pelajar terbabit risau jika pulang ke Malaysia pelajaran mereka dan urusan dengan pensyarah yang dijadualkan akan terbantut, berikutan itu mereka mengambil keputusan kekal di Pekanbaru.

“Mengikut rekod 400 rakyat Malaysia di Wilayah Riau, daripada jumlah itu 231 pelajar manakala selebihnya mereka yang bekerja di sini, termasuk pegawai, kakitangan konsulat dan keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, proses membawa pulang rakyat Malaysia jalan terbaik mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini berikutan keadaan jerebu yang semakin tidak menentu.

Konsulat turut melakukan pemantauan dengan membekalkan topeng muka dan ubat mata kepada pelajar Malaysia yang berada di Pekanbaru.

“Konsulat dan wakil pelajar mempunyai hubungan baik dan kami bersyukur sepanjang berlakunya jerebu tidak ada yang mengalami masalah kesihatan serius hingga perlu dirujuk ke hospital.

“Tidak dinafikan ada antara pelajar yang mengalami batuk, sesak nafas dan pedih mata namun semuanya terkawal,” katanya.

Semalam, 218 rakyat Malaysia di Riau dibawa pulang menggunakan penerbangan ihsan pesawat C-130 Hercules yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II.

Pesawat bersama lapan kru itu melakukan penerbangan ulang alik dua kali. Penerbangan pertama berlepas pada jam 6.45 petang (7.47 waktu Malaysia) dengan membawa 120 pelajar Malaysia.

Disiarkan pada: September 19, 2015 @ 5:14am
d