mutakhir

Ikon sukan motor

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Penubuhan Unit Penyelidikan dan Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bukan saja bakal melahirkan jurutera kenderaan di negara ini pada masa depan, malah bertanggungjawab memperkenalkan kajian terkini dalam penyelidikan membabitkan aktiviti pemotoran.

Pengarahnya, Dr Shahriman Abu Bakar berkata, MoTECH ditubuhkan secara rasmi tahun lalu sejajar dengan pembinaan Litar UniMAP bernilai RM1.8 juta yang siap sepenuhnya pada April 2013.

“Litar sepanjang 1.2 kilometer dan selebar sembilan meter serta mempunyai 12 selekoh menjadi litar pertama di zon Utara yang diiktiraf Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan menepati piawaian antarabangsa.

“Kewujudan Litar UniMAP bukan hanya untuk menggalakkan permotoran, malah ia akan digunakan dalam bidang penyelidikan industri permotoran,” katanya kepada Harian Metro dalam satu wawancara khas bersama MoTECH, di sini.

Beliau berkata, jalinan usaha sama antara MoTECH dengan Motosikal dan Enjin Nasional Berhad (MODENAS) memberi manfaat terhadap kedua-dua pihak terutama penyelidikan dalam mengkaji dan menambah baik enjin kenderaan berkenaan seperti bagaimana menjimatkan petrol dengan penggunaan enjin motosikal itu bagi menempuh perjalanan lebih jauh.

“Untuk itu, kita bekerjasama dengan MODENAS supaya setiap pengeluaran produk motosikal mereka cekap dan turut bersama dengan pasukan perlumbaan motosikal MODENAS dalam membantu membuatkan enjin motosikal mereka menjadi lebih laju,” katanya.

Menurutnya, selain itu, Litar UniMAP dipilih sebagai satu tempat lawatan teknikal Honda sebagai uji kaji pengendalian produk baru kereta keluaran gergasi kenderaan Jepun itu.

Katanya, menerusi pembinaan Litar UniMAP, MoTECH menarik minat orang ramai terhadap sukan pemotoran berikutan ia sesuai bagi perlumbaan go-kart.

“Kebanyakan jaguh Formula Satu (F1) seperti Michael Schumacher memulakan karier melalui Formula Go-Kart. Litar UniMAP diharap mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan dunia permotoran bukan saja di Perlis, malah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Litar UniMAP juga sering menjadi lokasi pertandingan go-kart peringkat kebangsaan dan dunia, sekali gus mempromosi nama UniMAP,” katanya.

Tidak hairan MoTECH menerima Anugerah Cemerlang Projek Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) 2015 pada 14 Ogos lalu, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 bagi Kategori Sukan dan Rekreasi dalam Majlis Anugerah Penghargaan UCTC di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya atas inisiatif itu.

Beliau berkata, mereka yang berminat mencuba go-kart, boleh cuba litar ini dengan bayaran RM30 bagi 10 minit atau RM150 untuk tempoh satu jam manakala pakej berkumpulan untuk dua jam hanya RM3,888.

Disiarkan pada: September 19, 2015 @ 5:14am
d