mutakhir

Tertipu Hello Kitty palsu

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Sindiket pengilang barangan tiruan tempatan dikesan menghasilkan cadar, sarung bantal dan aksesori menggunakan imej kartun Hello Kitty palsu bagi mengaut keuntungan lumayan.

Penipuan itu bagaimanapun dibongkar apabila dua premis perniagaan di Setapak diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur jam 2 petang semalam.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menjalankan risikan sejak seminggu lalu dan menerima maklumat pemilik cap dagang sah jenama itu.

Menurutnya, pemilik cap dagang mendakwa menerima aduan daripada pengguna yang mendakwa tertipu dengan penjualan produk tiruan berkenaan.

“Hasil serbuan itu, kita berjaya merampas pelbagai barangan antaranya bantal, set cadar dan perhiasan bernilai hampir RM10,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Beberapa pekerja premis itu turut diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut bagi mengena lpasti pembekal barangan tiruan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (1)(b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

Sehubungan itu, Rosli menyarankan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli barangan berjenama yang dikhuatiri palsu.

Katanya, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghubungi mana-mana pejabat KPDNKK untuk tindakan segera.

Disiarkan pada: September 19, 2015 @ 5:19am
d