mutakhir

'Sangka asap sate'

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Tujuh daripada 15 kedai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah kedai menjual perabot di R&R Lebuhraya Kesas menghala ke Shah Alam itu sebelum merebak.

Seorang peniaga, Mohd Amirul Wan Hashim, 32, berkata, dia terdengar bunyi letupan di kedai bersebelahan sebelum api marak.

“Saya ternampak asap tetapi menyangka asap sate yang dijual di sekitar kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, selepas beberapa minit api mula marak sehingga ke bumbung menyebabkan orang ramai yang sedang makan lari bertempiaran menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 100 pengunjung yang berada di kawasan itu berjaya menyelamatkan diri dan pihak bomba sempat memadamkan api sebelum marak ke kawasan lain.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya mengerahkan 30 anggota dari lima balai ke lokasi kejadian untuk mengawal api kebakaran.

“Pihak bomba mengambil masa sejam untuk memadamkan kebakaran. Kebakaran membabitkan tujuh unit kedai terbakar seratus peratus di blok yang berkeluasan 83 meter persegi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, tiada mangsa yang tercedera dan pihaknya masih menyiasat punca kebakaran.

Akibat kejadian itu, KESAS Sdn Bhd mengumumkan R&R Awan Besar termasuk kemudahan surau dan tandas ditutup serta-merta untuk kerja baik pulih.

Penutupan itu tidak membabitkan dua stesen minyak bersebelahan dengan kawasan kejadian.

Disiarkan pada: September 21, 2015 @ 5:40am
d