mutakhir

Peniaga kecewa Bazar Warisan suram

Kuala Terengganu: Kekurangan kedai yang beroperasi selain kemudahan awam termasuk eskalator dan lif rosak menjadi punca utama Bazar Warisan yang terletak bersebelahan Pasar Payang suram dan tidak dikunjungi pengunjung sejak mula beroperasi pada 2008.

Peniaga nyata kecewa berikutan Bazar Warisan yang sebelum ini digembar-gembur sebagai ikon pelancongan kedua selepas Pasar Payang kini kian berkubur berikutan tidak mendapat sambutan orang ramai.

Seorang peniaga, Syazwan Mustafa, 22, dari Kampung Pulau Rusa berkata, jumlah pengunjung yang sangat sedikit ke bazar itu berbanding Pasar Payang membuktikan kecantikan dan keindahan bangunan tidak mampu menarik orang ramai untuk datang membeli.

“Sejak 2008, perniagaan di Bazar Warisan itu tidak mendapat sambutan dan faktor utama yang menyebabkan pengunjung tawar hati untuk ke Bazar Warisan kerana tiada keceriaan.

“Maklumlah hanya lapan kedai yang beroperasi di bazar ini dan tidak mungkin ia mampu menarik perhatian pengunjung berbanding Pasar Payang,” katanya.

Syazwan berkata, Bazar Warisan hanya mengharapkan pelanggan yang berkunjung ke pasar untuk datang ke bazar dan membeli barang di situ.

“Sekiranya pengunjung di pasar berkurangan, ia akan turut menjejaskan jumlah pengunjung ke Bazar Warisan.

“Infrastruktur yang disediakan juga menyedihkan dan ia menjadi antara faktor lain yang menyebabkan pelancong tidak berminat ke Bazar Warisan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Badrul Hisyam Khalid, 50, dari Kampung Chendering berkata, dia terpaksa meneruskan perniagaan kain suteranya di Bazar Warisan itu sebagai persiapan sebelum projek naik taraf Pasar Payang di jalankan.

“Walaupun untung yang diperoleh tidak seberapa, perniagaan di Bazar Warisan tetap dijalankan kerana dalam masa terdekat, kedai saya di Pasar Payang terpaksa dikosongkan bagi tujuan pengubahsuaian dan menaik taraf pasar itu.

“Saya berharap pembinaan pasar baru tidak menjejaskan perniagaan peniaga di situ, malah ia mampu menarik kunjungan orang awam ke Bazar Warisan,” katanya yang berniaga di situ sejak 20 tahun lalu.

Disiarkan pada: September 21, 2015 @ 5:44am
d