mutakhir

Empat sekeluarga denggi

Oleh Mahaizura Abd Malik

Petaling Jaya: “Seumur hidup, ini mungkin pengalaman paling pahit bagi saya. Apakan tidak bukan setakat saya seorang kena demam denggi tapi isteri dan dua anak saya juga terkena wabak penyakit itu.

“Waktu itu, saya hanya ingat mati. Tapi syukurlah, Allah masih panjangkan umur saya dan ahli keluarga saya sampai sekarang,” kata Ramli Daud, 54, menceritakan detik seluruh keluarganya menghidap penyakit berbahaya itu pada Januari lalu.

Ramli yang menetap di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara di sini, berkata pada mulanya dia seorang saja disahkan menghidap denggi dan dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh selama empat hari.

“Waktu itu saya rasa seperti tak ada harapan lagi apabila paras kiraan platlet juga semakin menurun, namun cuba menguatkan semangat dan menelan ubat mengikut arahan doktor.

“Tidak sangka dalam saya bergelut untuk terus hidup, isteri dan diikuti seminggu selepas itu dua anak pula dimasukkan hospital akibat jangkitan demam denggi,” katanya ketika ditemui di kawasan itu semalam.

Kampung Sungai Kayu Ara yang dihuni kira-kira 35,000 penduduk itu disahkan sebagai antara 10 kawasan lokaliti wabak denggi paling tinggi membabitkan empat kematian dan lebih 50 penduduk dijangkiti denggi pada tahun ini.

Ketika tinjauan dilakukan ke kawasan itu, kelihatan beberapa kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Lembaga Promosi Kesihatan (MySihat) Kementerian Kesihatan (KKM) dan sukarelawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang menjalankan Program Gen-Y Ejen Pemangkin Cari, Musnah dan Cegah Denggi.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Mohd Hairmanshah Mohd Shah, program berkenaan dianjurkan bagi memberi kesedaran dan menyelaras program pembersihan kawasan itu bermula semalam sehingga Disember ini.

“Hari ini kita memulakan program dengan sukarelawan UKM menemui penduduk dari pintu ke pintu rumah untuk mengedarkan risalah selain memberi kesedaran mengenai bahaya denggi dan pentingnya kerjasama pembersihan tempat pembiakan aedes.

“Pada masa sama, Unit Kawalan Vektor MBPJ juga turun padang untuk membuat pemeriksaan dan semburan larva bagi membunuh jentik-jentik di kawasan air bertakung.

“Kita memilih kawasan ini dengan harapan semua penduduk dan pihak berkaitan dapat bekerjasama menurunkan kadar wabak denggi dengan menyertai gotong-royong setiap hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, Prof Madya Parasitologi dan Entomologi Perubatan Fakulti Sains Kesihatan UKM Dr Hidayatul Fathi Othman yang juga menyelaras program itu berkata, setiap tahun waktu peningkatan wabak denggi ialah sekitar Oktober hingga Januari berikutan dipengaruhi musim hujan.

Disiarkan pada: September 21, 2015 @ 5:51am
d