mutakhir

Pemberian BR1M dijangka naik 2016

Ipoh: Kedudukan kewangan negara masih kukuh dan membolehkan kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat di negara ini, malah pada tahun depan, nilainya juga dijangka akan ditambah.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan mempunyai keupayaan kewangan untuk meneruskan bantuan berkenaan dan pada tahun jumlahnya akan ditambah bagi membantu rakyat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, melihat situasi ekonomi sekarang ini, negara sebenarnya masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh namun berdepan masalah kejatuhan mata wang seperti yang dialami kebanyakan negara lain.

“Apa yang terjadi asasnya adalah kita jangkakan pendapatan daripada industri minyak akan berkurangan, tetapi Alhamdulillah kita jangkakan pendapatan daripada cukai-cukai lain yang sudah kita pertingkatkan dan menjanakan pertambahan hasil daripadanya.

“Pendapatan negara dijangka tidak meningkat tinggi, tetapi memadai bagi kerajaan menggunakannya untuk mentadbir dan membuat perbelanjaan pembangunan negara,” katanya selepas Program Mengimarahkan Perpustakaan 1Malaysia Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, semalam.

Menurutnya, tiada kesan drastik berhubung ketidakupayaan kewangan negara kerana kerajaan masih dapat mengekalkan hasil pendapatan negara dan pendapatan juga dijangka akan terus bertambah jika harga minyak tidak mengalami kejatuhan selain mata wang negara yang stabil.

“Perbelanjaan negara akan meningkat juga tahun depan, tetapi kita akan beri tumpuan kepada perbelanjaan yang lebih utama dan ini termasuklah BR1M.

“Mungkin akan ada tambahan dalam BR1M tahun depan di semua peringkat penerima yang layak menerima, namun golongan pendapatan paling rendah dijangka mendapat lebih lagi,” katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2015 @ 5:52am
d