mutakhir

Tabung Haji terus cari jemaah hilang

Makkah: Tabung Haji (TH) tidak akan melaksanakan badal haji untuk dua jemaah haji yang masih hilang dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam pada 11 September lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia berikutan usaha mencari dua jemaah haji terbabit masih berjalan dan keputusan padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) belum dikeluarkan.

“Status mereka belum disahkan, apa pun kita mengharapkan yang terbaik, segala kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bertemu jemaah haji Malaysia di Hotel Land Premium di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan TH Datuk Johan Abdullah dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Dua jemaah haji yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah).

Waris Shahidan, abangnya Sobri dan adik Zulhakimin, manakala Abdul Habib pula diwakili anaknya Mohamad Fazil, 39.

Jumaat lalu, waris terbabit dibawa ke rumah mayat oleh petugas perubatan Tabung Haji (TH) untuk ujian DNA.

Ujian itu bagi mendapatkan padanan DNA jenazah tidak sempurna yang dikumpulkan dalam tujuh beg plastik di Rumah Mayat Muaissem.

Badal haji dilaksanakan berdasarkan dua sebab iaitu kematian atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh sehingga tidak dapat menunaikan ibadat haji.

Sementara itu, Pengarah Operasi (Bimbingan) TH Tengku Abdul Aziz Raja Abdullah ketika diminta mengulas berkata, badal haji dilaksanakan TH mengikut syarat tertentu.

Disiarkan pada: September 21, 2015 @ 5:59am
d