mutakhir

Selamat disemadi

Oleh Suzalina Halid

Alor Setar: Raja Puan Muda Tunku Raudzah Sultan Hisamuddin Alam Shah, 86, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat gering selamat disemadikan di Makam Diraja Langgar, Jalan Langgar, petang semalam.

Jenazah Almarhumah yang juga isteri kepada Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah dibawa menggunakan pedati melalui Lebuhraya Darul Aman menuju ke Jalan Sultan Badlishah sebelum dibawa ke Makam Diraja dan disembahyangkan serta disemayam di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit untuk penghormatan terakhir.

Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat berkenaan bersama Tunku Abdul Malik serta barisan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Kedah akan berkabung selama tujuh hari mulai semalam dengan segala bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan berikutan kemangkatan Raja Puan Muda Kedah.

Katanya, semua bendera negeri, Persekutuan dan lain-lain perlu dikibarkan separuh tiang selama tiga hari pertama tempoh berkabung.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada Tunku Abdul Malik serta seluruh kerabat diraja dan berdoa kepada Allah semoga roh Almarhumah Raja Puan Muda Kedah ditempatkan dalam kalangan syuhada dan solihin,” katanya.

Raja Puan Muda Kedah yang diputerikan pada 29 September 1929 di Istana Bandar Temasya, Kuala Langat di Selangor, adalah puteri sulung kepada Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Che Puan Halijah Mahmud.

Almarhumah mendirikan rumah tangga dengan Raja Muda Kedah pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota, di sini.

Disiarkan pada: September 22, 2015 @ 5:02am
d