mutakhir

Berat hati terima tempat baru

Kuala Terengganu: Memang sukar untuk peniaga menerima tempat baru tambahan pula suasana dan persekitaran Pasar Payang ketika ini sinonim dengan kehidupan mereka sejak sekian lama.

Walaupun berat hati, tetapi demi pembangunan, mereka sanggup menerima setiap perancangan dilakukan kerajaan termasuk pembinaan bangunan baru sebagai menggantikan struktur pasar sedia ada.

Apa menjadi harapan peniaga Pasar Payang adalah pembaharuan bakal mengubah landskap pasar nanti tidak menjadi bebanan kepada 1,000 peniaga termasuk peniaga kaki lima di pasar berkenaan.

Pengerusi Peniaga Pasar Payang dan Bazar Warisan Ahmad Shukri Abdullah berkata, pasar sedia ada umpama nadi kepada sebahagian besar peniaga.

“Demi pembangunan semua peniaga bersetuju, tetapi berharap perubahan berlaku nanti tidak membebankan peniaga.

“Saya sebagai pengerusi meminta jasa baik kerajaan atau Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenakan sewa berpatutan dan tidak terlalu tinggi.

“Itulah sebenarnya menjadi kebimbangan kepada peniaga sekarang ini dan berharap kadar sewa dikenakan antara RM50 hingga RM300 bergantung kepada kategori perniagaan dapat dikekalkan,” katanya.

Menurutnya, dengan pembangunan Pasar Payang baru itu nanti akan juga membantu peniaga di Bazar Warisan yang kini sebilangan besarnya gulung tikar dan menutup perniagaan kerana tidak mendapat sambutan pastinya akan dapat bernafas semula.

Disiarkan pada: September 22, 2015 @ 5:02am
d