mutakhir

Bekalan lebih daripada cukup

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Bekalan ternakan untuk ibadat korban menjelang Aidiladha kali ini melebihi keperluan,” kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau memberi jaminan bekalan itu mencukupi berikutan terdapat 54,200 ekor lembu dan lebih 40,493 ekor kambing termasuk tempatan serta yang diimport di seluruh negara.

Katanya, statistik berkenaan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Ekspo dan Forum Haiwan Ternakan Asia 2015 anjuran UBM Asia Ltd di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah Veterinar Dr Kamarudin Md Isa dan Pengerusi UBM Malaysia Tan Sri Dr Ahmad Mustaffa Babjee.

Program berkenaan bermula semalam sebelum berakhir esok disertai 300 pempamer dari 32 negara.

Terdahulu dalam ucapannya Shabery berkata, Malaysia memiliki kelebihan sebagai peneraju industri halal dengan reputasi antara 10 pengeksport produk kategori itu dalam dunia.

Katanya, pengusaha dan pengeluar industri pertanian tempatan mesti sedar situasi berkenaan yang juga gerbang untuk mereka menembusi pasaran antarabangsa dengan meningkatkan eksport dalam usaha mengukuhkan mata wang negara.

“Saya gesa pengeluar makanan dan produk pertanian negara melangkah ke depan lagi dengan mesti memiliki pemikiran bagi meningkatkan eksport dalam perniagaan mereka selain menambah pengeluaran makanan untuk pasaran domestik kerana itu matlamat utama,” katanya.

Selain itu, berkaitan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, beliau berkata, cabarannya ialah membiasakan petani dan peladang menggunakannya.

Beliau berkata, walaupun teknologi kini berada ‘di depan mata’ namun ia bukan sesuatu yang menjadi amalan untuk mereka menggunakan kemudahan terbabit.

Disiarkan pada: September 22, 2015 @ 5:03am
d