mutakhir

Kualiti udara dijangka kembali merosot hari ini

Kuala Lumpur: Kualiti udara di beberapa lokasi seluruh negara dijangka kembali merosot hari ini berikutan perubahan corak tiupan angin yang menolak asap pembakaran hutan di Indonesia ke Malaysia.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Hisham Mohd Anip berkata, sekalipun Monsun Barat Daya sudah tamat, negara masih berdepan risiko jerebu sementara, kesan daripada perubahan angin.

“Bagi tempoh dua ke tiga hari ini, angin bertiup dari arah timur dan memudahkan hujan berlaku di beberapa lokasi.

“Tapi, bermula lewat hari ini (semalam), angin akan berubah arah dan bertiup dari Sumatera dan Kalimantan ke negara kita.

“Keadaan ini boleh mendatangkan jerebu dan kita jangka ia berterusan antara tujuh hingga sepuluh hari, bergantung kepada kelajuan angin dan situasi di punca kebakaran,” katanya.

Katanya, orang ramai diminta tidak panik memandangkan ia buat sementara.

Berdasarkan laporan dikeluarkan portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) petang semalam, 12 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik berbanding 17 di sebelah pagi.

Antara lokasi terbabit, Muar, Seremban, Sibu dan Petaling Jaya.

Bacaan IPU semasa boleh disemak menerusi portal http://apims.doe.gov.my.

Disiarkan pada: September 22, 2015 @ 5:06am
d