mutakhir

Sekolah dibuka meskipun darurat

Riau: Sebahagian besar sekolah di wilayah ini kini dibuka semula walaupun perintah darurat dikeluarkan kerajaan akibat jerebu teruk sejak sebulan lalu belum ditarik balik.

Tinjauan di Sekolah Dasar (SD) Al Azhar Syifabudi Pekanbaru, di sini, semalam mendapati ibu bapa menghantar anak mereka seperti biasa.

Guru Besar SD Al Azhar Syifabudi Haris Dianwari berkata, keputusan membuka semula sekolah dilakukan atas pertimbangan pihak pengurusan sekolah selepas keadaan berjerebu di wilayah ini khasnya Pekanbaru, mula berkurangan sejak kelmarin.

Haris berkata, ibu bapa dimaklumkan mengenai pembukaan semula sekolah itu melalui SMS yang dihantar guru dan bagi sekolah lain pemberitahuan dilakukan melalui laman web.

“Kami risau jika ditutup terlalu lama ia akan menjejaskan pelajaran murid kerana mereka bakal menduduki ujian pertengahan semester bermula 28 September hingga 2 Oktober depan,” katanya.

Beliau berkata, guru turut menyediakan kerja rumah dan nota ulang kaji kepada murid untuk memastikan mereka sentiasa fokus kepada pelajaran selain mengisi waktu terluang di rumah dengan perkara yang memberikan faedah.

Menurutnya, sepanjang tempoh sekolah ditutup, guru meminta ibu bapa hadir ke sekolah untuk mengambil kerja rumah dan nota ulang kaji anak masing-masing.

“Setakat ini, jerebu tidak menjejaskan persiapan sekolah untuk menghadapi peperiksaan utama seperti Peperiksaan Nasional dijadualkan pada Mei tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Pendidikan Pekanbaru Zulfadil Minggu melalui kenyataan disiarkan laman web jabatan itu memaklumkan secara amnya semua sekolah masih ditutup.

“Perintah darurat masih diteruskan dan kami menunggu arahan selanjutnya sebelum mengarahkan semua sekolah dibuka,” katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2015 @ 5:11am
d