mutakhir

Batal lesen jual rokok seludup

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Peniaga atau peruncit yang didapati bersalah menjual rokok seludup di bandar raya ini bakal kehilangan lesen perniagaan serta-merta dan disenaraihitamkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Presiden MPS Datuk James Wong berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menjual atau bersubahat menyimpan barangan seludup selaras dengan Kempen Anti Barangan Seludup yang dilancarkan.

“MPS tidak teragak-agak membatalkan lesen atau sebarang permit berkaitan sekiranya mendapati ada peniaga cuba mengambil kesempatan menyalah gunakan lesen atau permit mereka.

“Sekiranya barangan seludup ditemui di premis dalam kawalan MPS, perjanjian sewa juga akan terbatal serta-merta,” katanya ketika merasmikan kempen berkenaan di Pasar Besar Sandakan, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha MPS Jeffery Aman.

James berkata, pembatalan perjanjian sewa termasuk di lot kedai Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kantin yang dikawal selia MPS.

“Langkah ini dilakukan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Saya berharap setiap agensi dapat meningkatkan kerjasama membanteras penyeludupan dan memastikan bandar ini bebas barangan seludup seperti minuman keras dan rokok.

“Saya tidak mahu daerah ini yang mendapat jolokan ‘bandar raya alam semula jadi’ dan terkenal sebagai destinasi pelancongan utama di pantai timur dicemari gejala penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata, selain minuman keras dan rokok, barangan lain yang sering diseludup termasuk tekstil, pakaian, peralatan komunikasi dan alat ganti kenderaan.

“Penyeludupan memberi kesan besar terhadap cukai.

“Kutipan semakin menurun sehingga menyebabkan negara rugi berbilion ringgit setahun.

“Oleh itu, saya memohon kerjasama semua peniaga supaya tidak terbabit atau bersubahat dalam sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya.

Dalam pada itu, James berkata, kempen dilaksanakan diharap memberi impak kepada golongan sasar dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan.

“Saya mohon kerjasama semua persatuan perniagaan supaya tidak bersubahat atau menjual produk dipercayai barangan seludup.

“MPS juga menghargai peranan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkepentingan dalam perniagaan supaya sentiasa memberikan sokongan terhadap kempen ini,” katanya.

James berkata, sekiranya perkara itu dilaporkan kepada pihaknya, tindakan tegas akan dikenakan tanpa kompromi.

“Saya mengingatkan mereka yang terbabit dengan kegiatan ini supaya segera menjauhinya kerana sekiranya tertangkap, perniagaan mereka akan disenarai hitam.

“MPS sudah menjalankan risikan dan mengesan beberapa ejen yang menjadi dalang terhadap penularan barang seludup,” katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2015 @ 5:20am
d