mutakhir

Terima 41 laporan

Georgetown: Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri menerima 41 laporan kes gigitan anjing membabitkan sejak 16 September lalu hingga kelmarin.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Dr Afif Bahardin berkata, sepanjang operasi wabak rabies bersepadu selama enam hari itu, sejumlah 342 anjing liar ditangkap, dimusnah dan dilupuskan.

Beliau berkata, 50 sampel daripada anjing diambil untuk ujian diagnosis penyakit rabies di Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh, Perak dan majoriti daripadanya adalah positif.

Katanya, sehingga semalam tiga kes positif wabak anjing gila atau rabies dilaporkan berlaku di negeri ini termasuk kejadian terbaru seorang lelaki berusia 65 tahun digigit anjing di Balik Pulau, Jumaat lalu.

“Jabatan akan terus mempergiatkan dan memberi tumpuan kepada kes gigitan pada manusia selain mengadakan 116 kempen kesedaran awam di kawasan perumahan dan kampung, ladang ternakan, rumah ibadat, kawasan bersempadan, jabatan dan agensi tempatan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh.

Dr Afif berkata, sejak 16 September lalu hingga kelmarin, DVS negeri memberikan perkhidmatan vaksinasi kepada 292 anjing dan operasi penangkapan anjing liar akan diteruskan sehingga pengisytiharan wabak penyakit ditamatkan.

Disiarkan pada: September 23, 2015 @ 4:51am
d