mutakhir

Shahz Jaszle diarah bela diri

Kuala Lumpur: Pelakon drama, Shahz Jaszle diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini, semalam atas pertuduhan khalwat dengan seorang bekas pekerja bank, dua tahun lalu.

Hakim Syarie Abdul Halim Abu Samah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes mereka.

Terdahulu, dalam keputusannya, Abdul Halim berkata, tidak wujud isu perangkap ketika proses tangkapan seperti yang dihujahkan pihak pembelaan kerana kes itu masih di peringkat pendakwaan.

Selain itu, mahkamah berpendapat percanggahan masa yang terdapat dalam kertas pertuduhan dengan keterangan saksi tidak menjejaskan keseluruhan kes pendakwaan kerana ia tidak begitu ketara serta boleh dipinda oleh mahkamah atau pihak pendakwaan.

Justeru, mahkamah memerintahkan masa kejadian yang terdapat dalam kertas pertuduhan dipinda kepada ‘ antara jam 3.50 pagi hingga 4.20 pagi.’ Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Fairus Jaafar manakala Shahz Jaszle atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, 27, diwakili peguam Ashraf A Ranee.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Disember ini untuk sambung bicara peringkat bela diri.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, pelakon yang mula dikenali melalui drama bersiri ‘Asmara’ itu berkata dia okay namun masih tidak jelas dengan keputusan itu kerana tidak faham.

Disiarkan pada: September 23, 2015 @ 5:01am
d