mutakhir

Pegawai Daerah Segamat silap

Nusajaya: Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Johor mengesahkan surat pekeliling berhubung titah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan penurunan Jalur Gemilang di negeri ini berpunca daripada kesilapan Pegawai Daerah Segamat, Ahmad Ma’in.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim berkata, surat pekeliling ditandatangani Ahmad dikeluarkan tanpa melalui pejabat SUK dan tidak mendapat pengesahan beliau.

Beliau berkata, sebarang arahan berhubung pemakaian atau pemasangan bendera di negeri ini adalah melalui pejabat SUK selepas ia mendapat persetujuan kerajaan negeri dan diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

“Berhubung isu titah TMJ yang viral di laman sosial baru-baru ini, ia kesilapan Pegawai Daerah Segamat yang mengeluarkan surat pekeliling tanpa merujuk pejabat SUK.

“Titah TMJ itu sebenarnya dibuat di Johor Bahru yang ketika itu Tunku Ismail bertanya soal bendera Persekutuan (Jalur Gemilang) yang masih dipasang di tiang lampu sepanjang jalan raya negeri ini, sedangkan ketika titah itu dibuat, Tunku Ismail tidak perasan kita masih dalam tempoh sambutan bulan kemerdekaan.

“Tiada isu berbangkit selepas itu sehingga surat pekeliling Pejabat Daerah Segamat berkenaan tersebar,” katanya di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini, semalam.

Ismail berkata, surat amaran akan dikeluarkan kepada Ahmad sebagai tindakan dikenakan atas kesilapan yang dilakukannya.

Sementara itu, Ismail berkata, protokol pemasangan bendera di negeri ini masih mengguna pakai surat Pekeling Am Protokol Pengibaran Bendera Kerajaan Johor Bilangan 2 Tahun 2013.

Beliau berkata, mengikut pekeliling itu, pemasangan bendera dan bunting sempena sambutan kemerdekaan negara boleh mula digantung pada dua minggu sebelum 31 Ogos dan berakhir dua minggu selepas 31 Ogos yang mana jika pada tahun ini ia bermula pada 16 Ogos hingga 15 September.

“Ada cara pemasangan bendera yang berbeza untuk hari biasa dan ketika sambutan kemerdekaan serta hari kebesaran negeri Johor.

“Pada hari biasa, bendera negeri, persekutuan, daerah atau bendera rasmi institusi tertentu hanya boleh dikibarkan pada tiang bendera mengikut protokol yang ditetapkan. Di bangunan pejabat kerajaan negeri, hanya bendera negeri yang akan dikibarkan manakala bangunan persekutuan, Jalur Gemilang akan turut dipasang,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2015 @ 5:03am
d