mutakhir

Menteri Wilayah Persekutuan serah 109 lembu

Putrajaya: Sebanyak 109 lembu disumbangkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk diagihkan kepada surau dan komuniti sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di sini sempena Aidiladha.

Pegawai Pengurusan Korban Berkelompok Pejabat Ahli Parlimen Putrajaya Mohd Azizi Elias berkata, sumbangan itu dilakukan pada setiap tahun oleh Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya bagi memeriahkan program korban di sini.

Beliau berkata, bagi menghidupkan lagi suasana bermasyarakat di sini, dua lembu akan disembelih pada hari raya pertama untuk dimasak dan dimakan bersama di Program Kenduri Rakyat.

“Program itu akan diadakan di sebelah Depo Perbadanan Putrajaya (PPj) di Presint 9 di sini dan dimasak secara gotong-royong oleh komuniti setempat.

“Orang ramai dijemput hadir bagi menikmati juadah daging yang disediakan secara percuma bermula jam 11 pagi hingga 1.30 petang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Azizi berkata, baki lembu sebanyak 107 itu pula akan dikorbankan manakala dagingnya akan diagihkan kepada surau dan komuniti di seluruh Putrajaya.

“Kita berharap dengan adanya aktiviti seperti ini hubungan persaudaraan antara komuniti semakin erat,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2015 @ 5:12am
d