mutakhir

Memang dah mahal

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Gombak: Permintaan daging segar dijangka meningkat mendadak sempena sambutan Aidiladha esok.

Dakwa peniaga, jika pada sambutan Aidilfitri, daging lembu laris bak pisang goreng panas apabila ia dijadikan sebagai menu istimewa pada pagi raya, manakala menjelang Aidiladha pula, lembu laris bagi tujuan ibadah korban.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Sri Gombak dan Greenwood mendapati orang ramai mulai mendapatkan daging segar bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Peniaga, Muhammad Azhar Arif, 25, berkata, dia hanya mampu menyediakan 20 ekor daging lembu sebagai persiapan menyambut Aidiladha bagi memenuhi tempahan awal.

“Setakat ini, kita menyediakan 20 ekor lembu. Biasanya orang ramai menempah awal untuk tujuan itu supaya tidak timbul masalah kepada kami untuk menyediakan keperluan dikehendaki mereka.

“Mengenai harganya pula, harga lembu hidup kini mencecah RM3,500 hingga RM5,000 seekor, namun ia bergantung kepada berat haiwan itu. Harga sekilo daging segar adalah RM35 mengikut harga pasaran,” katanya ketika ditemui di Greenwood, semalam.

Menurutnya, harga kenaikan daging lembu itu ekoran harga lembu diperoleh daripada pembekal agak tinggi.

“Kita terpaksa menjual daging dengan harga tinggi kerana bekalan yang diambil daripada pembekal adalah tinggi. Modal peniaga juga tinggi menyebabkan mereka tidak berani menanggung risiko daging rosak jika mengambil bekalan berlebihan.

“Bagaimanapun, saya berbuat demikian kerana harga makanan lembu di pasaran ketika ini semakin mahal menyebabkan saya turut bergantung kepada bekalan daripada pembekal dan penternak,” katanya.

Suri rumah, Haslinda Mahmud, 54, berkata dia sentiasa membeli daging segar dua hari lebih awal kerana bimbang bekalan daging tidak mencukupi.

Disiarkan pada: September 23, 2015 @ 5:13am
d