mutakhir

Bekalananti-rabies tiba

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin dan Azma Razana Johari

Bukit Mertajam: Sebanyak 2,190 anjing liar dilupuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sejak penularan wabak anjing gila atau rabies sehingga 21 September lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Veterinar (Kesihatan Veterinar) Dr Kamarudin Md Isa berkata, daripada jumlah itu 484 dilupuskan di Pulau Pinang manakala selebihnya di Kedah dan Perlis.

Katanya, 292 anjing disuntik vaksin antirabies di Pulau Pinang, 1,648 di Kedah dan 468 di Perlis.

“Sebanyak 68 kes gigitan anjing direkodkan di tiga negeri ini sehingga 21 September lalu dan 42 daripadanya positif,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, JPV negeri mengesahkan isu kehabisan bekalan vaksin antirabies sejak beberapa hari lalu berakhir selepas menerima 300 dos bekalan baru petang semalam.

Pengarah JPV negeri Dr Siti Salmiyah Tahir berkata, bekalan itu dijangka tiba dari Ibu Pejabat JPV Putrajaya pada jam 5 petang semalam bagi menampung usaha pencegahan wabak penyakit anjing gila yang merebak ketika ini.

Beliau berkata, bekalan itu mampu menampung permintaan 300 anjing bertuan yang menunggu giliran mendapatkan suntikan antirabies, selain memberi keyakinan kepada orang ramai usaha kerajaan negeri membanteras pembiakan wabak penyakit anjing gila.

Katanya, secara purata, JPV negeri memberi 150 suntikan kepada anjing bertuan setiap hari dan masih ada pemilik belum menyuntik anjing mereka.

“Bagi memudahkan urusan, pemilik anjing boleh mengunjungi Pejabat JPVnegeri di Bukit Tengah dari jam 6 petang sehingga 10 malam dan kaunter suntikan dibuka esok (hari ini) mulai dari jam 9 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2015 @ 4:04am
d